KUALA LUMPUR: Kim Pan Gon sedang melalui antara detik paling sukar bersama Harimau Malaya apabila berdepan krisis kecederaan pemain utama menjelang baki dua perlawanan getir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan ini.

Suratan atau kebetulan, krisis kecederaan menyebabkan jurulatih dari Korea Selatan itu kehilangan enam pemain berlaku tatkala pasukan negara mempunyai misi wajib menang ke atas pasukan ke-100 dunia, Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek malam esok.

Krisis kecederaan itu melibatkan lima jentera serangan - dua pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi; tiga penyerang Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad dan Romel Morales serta penjaga gol nombor satu negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Sebagai rekod, Faisal Halim menjaringkan gol kemenangan Malaysia ketika menumpaskan Kyrgyzstan 4-3 pada aksi pertama kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada November tahun lepas sementara Arif Aiman mencipta sensasi apabila melakukan empat bantuan jaringan pada malam itu.

Berikutan pilihan terhad di bahagian serangan, Pan Gon perlu bijak menentukan kombinasi terbaik antara pemain lama dan baharu iaitu Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Safawi Rasid, Nur Shamie Iszuan Amin, Zhafri Yahya dan Muhammad Haqimi Azim Rosli yang dibawa ke Bishkek.

Walaupun timbul keraguan terhadap kemampuan jentera serangan negara, tanggapan itu boleh berubah dengan keberkesanan permainan oleh bahagian tengah dan benteng pertahanan dalam membantu menghasilkan gerakan berbahaya seterusnya merobek gawang Kyrgyzstan.

Kekuatan pasukan negara kali ini ialah di bahagian tengah apabila Pan Gon berjaya mendapatkan pilihannya yang juga pemain berpengalaman antaranya Paulo Josue, Endrick Dos Santos, Mohamed Syamer Kutty Abba, Stuart Wilkin dan Brendan Gan untuk membantu jentera serangan.

Di benteng pertahanan, Pan Gon turut tidak berdepan masalah mengumpulkan pemain terbaik antaranya Dion Cools, Matthew Davies, La'vere Corbin-Ong, Muhamad Feroz Baharudin, Dominic Tan, Shahrul Mohd Saad dan Daniel Ting.

Hanya kekosongan ditinggalkan Ahmad Syihan sedikit membimbangkan kerana pengalaman penjaga gol berusia 28 tahun itu dalam aksi berintensiti tinggi sangat ditagih sekali gus individu yang bakal menggantikan tempatnya perlu cepat bersedia dari segenap aspek.

Tiga penjaga gol yang dibawa ke Bishkek ialah Muhammad Azri Ab Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Berdasarkan prestasi semasa, Kyrgyzstan bimbingan Stefan Tarkovic dari Slovakia berada pada tahap yang baik dan dahagakan kejayaan terutama selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam aksi kumpulan mengatasi Taiwan, Mac lepas.

Sementara itu, Malaysia pula belum berjaya mencatat sebarang kemenangan tahun ini sejak kempen Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas sebelum mengalami dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada perlawanan kumpulan, Mac lepas.

Bagi penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli, kehadiran Harimau Malaya ke Bishkek sepatutnya membawa aura menggerunkan namun disebabkan krisis kecederaan menjadikan pasukan 'tempang', status pasukan negara kini berubah menjadi underdog.

"Dengan status Harimau Malaya yang berubah kepada underdog kini stake kita untuk menang dianggap sangat rendah.

"Apa pun kita harap bahan 'ramuan' serta 'perisa' yang serba kekurangan dimiliki Pan Gon pada waktu ini, jurulatih fenomena Korea Selatan ini mampu mengekalkan 'resipi rahsia' dan dapat mengadunkannya hingga membuahkan kejayaan kepada Malaysia.

"Harapan untuk kita menang memang tidak begitu tinggi, tetapi kita harap sesuatu yang di luar jangka boleh berlaku. 'Bola itu bulat' dan berkat doa seluruh penyokong bola sepak negara kita boleh mengejutkan Kyrgyzstan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selepas aksi menentang Kyrgyzstan, Malaysia akan menutup saingan kumpulan dengan melayani kunjungan pasukan ranking ke-159 dunia, Taiwan di Stadium Nasional pada 11 Jun ini.

Selepas melihat pasukan kendaliannya jatuh ke posisi 138 dalam ranking dunia April lepas, Pan Gon memerlukan tiga mata dalam kedua-dua perlawanan terakhir sambil mengharapkan Oman menumpaskan Kyrgyzstan untuk mencerahkan peluang mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia.

Layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia akan mengesahkan tempat lebih awal Malaysia ke Piala Asia 2027.

Oman dan Kyrgyzstan akan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 11 Jun di Muscat dengan pasukan tuan rumah berpeluang membalas dendam kekalahan aksi pertama di Bishkek, November tahun lepas sekali gus berpeluang menjuarai saingan Kumpulan D.

Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di posisi ketiga Kumpulan D dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu, berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa mata.

-- BERNAMA