SHAH ALAM: Pemain tengah dari Venezuela, Yohandry Jose Orozco Cujia atau lebih dikenali dengan Orozco hari ini diumumkan sebagai pemain import terakhir Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M musim 2023, bermula 24 Feb ini.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, berkata pemain berusia 31 tahun itu dilihat mempunyai kelebihan yang dapat membantu menstabilkan pasukan pada musim ini.

"Pasukan sekarang dilihat memerlukan seorang jeneral pasukan. Saya berharap Orozco dapat memberikan corak permainan yang baiknya dan dapat menstabilkan di bahagian serangan pasukan dengan kekurangan yang kita hadapi.

"Kelebihan Orozco adalah beliau seorang yang memiliki kawalan bola yang sangat baik dan dalam masa yang sama mampu membantu rakan pasukannya untuk dapatkan jaringan gol. Beliau juga mampu menyempurnakan 'set pieces' dengan baik, saya harap kelebihannya akan terlihat di padang nanti," katanya.

Cheng Hoe berkata demikian, menerusi kenyataan, dalam portal rasmi Selangor FC hari ini.

-Orozco merupakan rekrut ketujuh dan terakhir yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Ayron Del Valle, Ahmad Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran, Mohamad Faisal Abdul Halim, Noor Al-Rawabdeb dan Rauf Salifu.

-- BERNAMA