Zii Jia yang tiba di Paris dengan impian emas selepas prestasi yang baik di Kejohanan Dunia baru-baru ini, berkata. dia seperti 'dikejutkan daripada tidur yang lena' oleh Kunlavut Vitidsarn selepas tewas pada peringkat separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena.
"Saya seperti hilang pada ketika itu dan tidak pasti jika saya mahukan pingat gangsa ini. Kita (Malaysia) dah ada banyak gangsa dan perak Sukan Olimpik, yang belum ada ialah emas.
"Namun, bagi saya ini satu permulaan perjalanan yang baik untuk saya. Tentu sekali saya akan kembali di LA28, dan akan terus mencuba untuk menang emas untuk Malaysia dan diri saya," katanya selepas perlawanan pingat gangsa, pada Isnin.
Terdahulu, Zii Jia menjadi atlet Malaysia ketiga untuk menang pingat Olimpik badminton perseorangan lelaki selepas Datuk Rashid Sidek menang gangsa di Atlanta 1996, dan tiga pingat perak Datuk Lee Chong Wei di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.
Pemain ketujuh dunia itu, berjaya kembali untuk menang selepas tewas set pertama kepada Lakshya Sen dari India, 13-21, 21-16, 21-11, dan membawa pulang pingat gangsa, selepas tewas kepada Chen Long dari China di pusingan 16 terakhir pada penampilan pertamanya di Tokyo 2020.
Juara All England 2021 itu berkata, sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi pemain persendirian pada awal 2022, banyak telah berlaku dan menjadikan dia lebih matang.
Sementara itu, Lakshya berkata, tangan kanannya berdarah ketika perlawanan akibat luka, yang menjadi gangguan kepadanya dan meneruskan permainan dengan memakai balutan.
"Saya tidak dapat lakukan yang terbaik, sebaik dia mulakan dapat rentak dan kemudiannya tekanan mula meningkat. Ia agak sukar untuk mengawal permainan.
"Tidak, saya tidak rasakannya (kecederaan menukar arah perlawanan), dia bermain dengan baik. Sebaik dia mendapat rentak, ia menjadi sukar untuk saya," katanya.
Sementara itu, pemain Denmark, Viktor Axelsen mengekalkan pingat emas perseorangan lelaki dengan kemenangan 21-11, 21-11 ke atas pemain Thailand, Kunlavut di final.
Terdahulu, pemain nombor satu dunia, An Se Young mengalahkan pemain China He Bing Jiao 21-13, 21-16 untuk pingat emas perseorangan wanita.
- BERNAMA