PARIS: Pusat Media Utama (MPC) Sukan Olimpik Paris 2024 beroperasi seperti biasa dengan menyediakan ruang kerja dan perkhidmatan untuk para wartawan dari seluruh dunia.

Berdasarkan pemerhatian, MPC yang terletak di Palais des Congres di Porte Maillot, beroperasi sepenuhnya dengan protokol keselamatan biasa.

Anggota keselamatan boleh dilihat meronda sekitar MPC.

Namun begitu, bilangan petugas media agak kurang berbanding beberapa hari lepas kerana mereka sibuk membuat liputan di lapangan pada pertandingan yang bermula secara rasmi pada Sabtu selepas majlis pembukaan yang gilang-gemilang sehari sebelumnya.

Terdahulu, beberapa media, termasuk Agensi Anadolu melaporkan bahawa polis Perancis menutup sementara kawasan sekitar pusat media berkenaan pada Sabtu kerana "risiko letupan" tetapi tiada kenyataan rasmi daripada penganjur setakat petang Ahad.

Dilaporkan wartawan dan penduduk telah dipindahkan manakala punca risiko tersebut tidak didedahkan.

Pada pagi majlis pembukaan, dilaporkan pengkhianat melumpuhkan kebanyakan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi dari bahagian utara, barat dan timur negara menuju ke kota Paris sebelum upacara pembukaan Olimpik 2024.

-- BERNAMA