KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan hasrat Malaysia memburu pingat selepas layak ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menang pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A hari ini.

Beregu negara yang menduduki ranking ke-13 dunia itu menewaskan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam aksi 'wajib menang' yang berlangsung kurang 30 minit di Arena Porte de la Chapelle di kota Paris.

Dalam perlawanan penuh bertenaga, Pearly-Thinaah menang bergaya 'straight set' dengan 21-18, 21-9 ke atas pasangan yang menduduki ranking kesembilan itu, sekali gus menduduki tempat kedua peringkat kumpulan. 

Dalam pertemuan sebelum ini, kedua-dua gandingan terikat 3-3 dalam enam perlawanan.

Pada 28 Julai lalu, Pearly- Thinaah menewaskan gandingan Jepun, Mayu Matsumoto - Wakana Nagahara 18-21, 21-15, 21-16 pada aksi kedua peringkat kumpulan.

Ia merupakan kemunculan pertama Pearly-Thinaah di Olimpik dan kali terakhir beregu wanita negara layak ke suku akhir badminton adalah pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.