Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah berjaya mengekalkan momentum cemerlang mereka untuk mencipta satu lagi kejutan, kali ini mengatasi pasangan kesembilan dunia dari Indonesia, Apriani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-18, 21-9 untuk mengesahkan slot ke suku akhir.
Kejayaan itu menjadikan mereka beregu wanita kedua Malaysia dalam sejarah Olimpik untuk beraksi di peringkat suku akhir selepas Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi Rio 2016.
Sementara itu, nasib berbeza bagi kem memanah negara di Invalides, apabila hasrat Syaqiera Mashayikh untuk mara ke pusingan 16 terbaik berkecai walaupun memberikan saingan sengit di bawah panas terik dengan cuaca sekitar 35 darjah Celsius.
Selepas mudah menyingkirkan Alexandra Mirca dari Moldova 6-0 pada pusingan 1/32, beliau tewas 5-6 menerusi shoot-off kepada Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil dalam aksi penyingkiran 1/16. Terdahulu keputusan terikat 5-5 selepas lima set.
Setelah menikmati cuaca dingin dan sederhana sejak beberapa hari lepas akibat hujan, kehangatan musim panas Paris mula dirasai apabila kebanyakan atlet, petugas dan penonton terutamanya di venue luar berdepan cabaran mengatasi kepanasan.
Pihak penganjur mengeluarkan notis menasihatkan agar semua pihak untuk melindungi daripada gelombang haba yang dijangka dihadapi pada musim panas ini dengan mengambil langkah berjaga-jaga seperti meminum air secukupnya, berteduh daripada keterikan matahari dan menggunakan pakaian atau krim pelindung matahari.
Penganjur juga menyediakan alat penyejukan (seperti misters) dan akses air minuman (water fountains) percuma, iaitu 80 tambahan water fountains di venue bagi menampung keperluan penonton sebagai tambahan kepada 1,200 fountains sedia ada di kawasan awam.
Di sebalik kehangatan cuaca Paris, kontinjen Malaysia akan meneruskan cabaran dalam badminton dan memanah recurve pada Rabu.
Di Porte de La Chapelle Arena, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan memulakan cabaran di suku akhir berdepan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.
Dua pemain perseorangan profesional turut akan turun dalam aksi terakhir kumpulan masing-masing, dengan Lee Zii Jia akan bertemu Pablo Abian dari Sepanyol manakala Goh Jin Wei menentang Kim Ga Eun dari Korea Selatan.
Atlet memanah negra, Ariana Nur Diana Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil pula akan membuka kempen dalam pusingan penyingkiran 1/32 individu wanita, masing-masing bertemu Ciara Rebagliati dari Itali dan Elif Berra Gokkir dari Turkiye. - BERNAMA