PARIS: Acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 disifatkan sebagai ikonik, unik dan penuh bersejarah.

Acara pembukaan yang berlangsung di sepanjang Sungai Seine - sesuatu yang berbeza dan julung kali dipersembahkan berbanding temasya sebelum ini yang dilakukan di dalam stadium.

Sebanyak 85 bot membawa kira-kira 6,800 atlet belayar menyelusuri sungai berkenaan dengan kira-kira 320,000 penonton hadir menyaksikan acara penuh gemilang itu di kedua-dua tebing Seine.

Perarakan kontinjen turut diselitkan dengan beberapa nyanyian serta tarian - sebagai simbolik meraikan kehadiran 205 delegasi negara yang bertandang ke 'kota cinta' itu.

Penyanyi Celine Dion membuat penampilan pertamanya sejak menghadapi masalah kesihatan dengan penuh gaya.


Memakai baju gaun berwarna putih, superstar berkenaan membuat prsembahan di hadapan Eiffel Tower dengan menyayikan lagu Edith Piaf 'L'Hymne a L'amour'.

Pada awal upacara pembukaan, ribuan penonton terpaksa beratur panjang dan berdepan masalah tiket menjelang majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris di Sungai Seine.

Kebanyakan pintu masuk dibuka lewat sejam dan ada sesetengahnya lewat dua jam kerana pegawai bertugas tidak membawa alat pengimbas tiket.