KUCHING: Atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal mengukuhkan statusnya sebagai ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila memecahkan rekod temasya buat kali kedua dalam acara 200 meter (m) wanita di Stadium Sarawak di sini hari ini.

Masih segar dengan kejayaan memenangi pingat emas 100m sambil mencipta rekod baharu temasya semalam, Nur Afrina, 20, terus menampilkan kemampuannya selepas mencipta catatan masa 23.89 saat (s) sekali gus memadam rekod 24.37s yang dilakar pelari dari Perak Noor Eewan Syafiah Mohd Sabri pada edisi 2016 di sini.

Pingat perak menjadi milik Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira dari Terengganu dengan 24.52s manakala atlet tuan rumah Ormilla Octavia Codday Nyadau ketiga selepas merakam 24.94s.

"Saya mendapat pingat emas untuk Selangor seperti diinginkan dan sekali lagi memecahkan rekod kejohanan. Saya gembira, masa yang saya dapat pun (catat) di luar jangkaan.

"Apa yang saya buat ialah kekal fokus sebelum perlumbaan. Saya tenang dan tidak fikirkan siapa pesaing saya, sebab saya lawan diri saya sendiri. Kejayaan ini adalah hasil daripada sokongan jurulatih dan keluarga," katanya