NEYMAR bakal kembali ke dalam skuad Paris Saint-Germain (PSG) tetapi pengendali pasukan, Unai Emery, masih belum pasti sama ada bintang Brazil itu sudah bersedia untuk beraksi dalam sebahagian penuh sesi latihannya.

Pemain termahal dunia itu telah diketepikan sejak mengalami kecederaan patah metatarsal ketika PSG meraih kemenangan 3-0 ke atas Marseille pada penghujung Februari.

Neymar sedang berusaha untuk segera pulih dan mencapai tahap terbaik untuk kembali ke dalam skuad Brazil di Piala Dunia dan dia kini dalam landasan terbaik untuk kembali berlatih pada 17 Mei -- dua hari sebelum aksi terakhir PSG berdepan Caen.

"Mengenai Neymar, saya masih belum mendapatkan kepastian bila dia akan kembali beraksi," kata Emery.

"Berlatih bersama pasukan? Buat masa ini, saya tidak boleh memberikan jawapan -- kami akan tunggu selepas dia tiba di sini.

Tambah Emery lagi, "Kami mahu dia bersama PSG. Dia akan menjalani latihan bersama ahli fisio pasukan sebelum kembali menjalani latihan bersama pasukan.

Neymar telah menjaringkan 28 gol dalam 30 aksi bersama PSG sejak berhijrah dari Barcelona.

Emery tanpa kapten pasukan, Thiago Silva dan Julian Draxler yang dihimpit kecederaan untuk aksi berdepan Amiens, manakala Marco Verratti diketepikan hingga penamat musim selepas menjalani pembedahan otot pangkal paha, semalam.