Pasukan Negeri Sembilan meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super setelah menewaskan kelab PKNS FC 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan Skuad Rusa naik satu anak tangga ke kedudukan ke-11 liga dengan kutipan 11 mata setelah beraksi dalam 13 perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Paroi, pasukan tuan rumah terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior pada minit ke-35.

Pengadil perlawanan Suhaizi Shukri memberikan sepakan penalti berkenaan setelah percubaan pemain Negeri Sembilan terkena tangan pasukan pelawat K. Gurusamy dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung ke babak kedua, pasukan tuan rumah kembali menggandakan asakan dan Flavio berjaya mencipta gol peribadi kedua pada minit ke-61 menerusi sepakan penalti setelah bola terkena tangan Kapten PKNS FC, Zachary Michael Anderson.

Pemain gantian, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir terus menambah derita pasukan PKNS FC apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-68 setelah memanfaatkan hantaran lintang Mohd Aizulridzwan Razali.

PKNS FC berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi pemain import dari Colombia, Romel Oswaldo Morales Ramirez pada minit ke-72 dan keputusan 3-1 itu kekal sehingga perlawanan tamat.

-- BERNAMA