WEST HAM 1 ARSENAL 0

Samir Nasri memperagakan aksi mengagumkan apabila membantu West Ham meraih kemenangan 1-0 ke atas bekas kelabnya, Arsenal, dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London, sebentar tadi.

Nasri membuat kemunculan sulung EPL bersama kelab itu selepas dikenakan penggantungan selama 18 bulan berikutan menjalani rawatan di klinik Los Angeles pada Disember 2016 yang didapati melanggar peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Bekas tonggak antarabangsa Perancis itu menjadi nadi buat West Ham apabila mencipta gerakan kepada gol kemenangan yang disumbat Declan Rice pada awal babak kedua.

Marko Arnautovic -- dikaitkan dengan perpindahan ke China -- pula melambaikan tangan kepada peminat sebaik digantikan dalam babak kedua sementara Arsenal sukar menggugat penjaga gawang, Lukasz Fabianski.

Mark Noble gagal menghadirkan tendangan lebih padu ketika menyerang Arsenal dari sebelah kiri tatkala West Ham berpeluang untuk memimpin perlawanan lebih awal, namun Arsenal terlebih dahulu mencetuskan ancaman pertama -- Fabianski menepis rembatan Alexandre Lacazette yang tidak dikawal ketat.

Sead Kolasinac memilih untuk membuat umpanan kepada Lacazette biarpun dia sendiri memiliki pilihan yang lebih baik pada minit ke-23 manakala Nasri mengikut jejak pemain dari Bosnia itu yang menyaksikan rembatannya hanya singgah di tepi jaring lawan.

Nasri kemudian bergandingan dengan Felipe Anderson sebelum melepaskan percubaan rendah disusuli rembatan deras Matteo Guendouzi yang melewati palang ketika cuba menguji Fabianski. Tandukan Declan Rice kemudian tersasar untuk menutup babak pertama dengan aksi rancak yang seimbang.

West Ham berjaya menggegar jaring lawan sebaik tiga minit memasuki separuh masa kedua apabila tandukan lemah Laurent Koscielny jatuh ke kaki Nasri untuk dilorong kepada Rice.

Prestasi Arsenal bertambah baik sebaik pengenalan Aaron Ramsey -- yang minggu ini dikatakan telah bersetuju menyertai dengan Juventus pada akhir musim -- selepas 59 minit, namun mereka gagal memanfaatkan deretan peluang yang dicipta yang menyaksikan Pierre-Emerick Aubameyang dan Alex Iwobi terlepas dua peluang keemasan.

The Gunners akhirnya menjaringkan gol dalam masa kecederaan, tetapi gol tandukan Koscielny itu dibatalkan akibat ofsaid terhadap Lucas Torreira yang membuat hantaran tersebut untuk West Ham meraih kemenangan pertama ke atas The Gunners sejak 2006.