KUALA TERENGGANU: Selepas berjaya menempa pingat emas pada penampilan pertama di Sukan SEA Ke-31 di Vietnam, atlet Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mahu fokus untuk The World Games 2022, di Alabama, Amerika Syarikat yang akan berlangsung 15 hingga 17 Julai depan.

Bakal bertanding dalam kategori 57 kilogram (kg), Ahmad Nor Iman Aliff, 18, atlet dari Terengganu itu tekad memburu gelaran juara untuk mengharumkan nama negara dan menambah koleksi pingat emas dimenanginya.

Beliau ketika ini sedang giat menjalani latihan dan membuat persiapan di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Sarawak, Bernard Radin secara sepenuh masa di Bangkok, Thailand.

"Persaingan sememangnya sengit kerana kejohanan (The World Games 2022) akan turut disertai lapan peserta terbaik dunia.

"Bagaimanapun dengan momentum baik dan konsistensi, saya yakin serta percaya mampu meraih pingat emas untuk negara," katanya ketika ditemui sebelum berangkat ke Bangkok.

Selain pingat emas di Sukan SEA, Ahmad Nor Iman Aliff yang juga anak kepada peninju legenda negara, Rakib Ahmad baru sahaja memenangi pingat emas di IFMA Muaythai World Championship 2022 di Dubai bagi kategori 54 Lelaki Bawah 23 selepas menewaskan atlet dari Iran, Mehrdad Khanzadeh Gharehtapeh.

Selain beliau, tiga lagi atlet yang berjaya meraih emas ialah Mohammad Rifdean Masdor bagi kategori 48 kg bawah 23 tahun, Muhammad Hairie Mahmad (45 kg lelaki bawah 23 tahun) dan Damia Husna Azian (42-45 kilogram bawah 23 tahun special fight).

"Ayah (Rakib) merupakan pencetus minat dan pemberi motivasi terbesar untuk saya terus mengejar impian menjadi atlet Muay Thai terbaik dunia suatu hari nanti.

"Pencapaian terbesar apabila beliau (Rakib) menang pingat perak di Sukan SEA 2001 dan gangsa di Sukan Komanwel 1998 yang dijadikan sebagai sumber inspirasi saya serta adik-beradik lain," katanya.

-- BERNAMA