KUALA LUMPUR: Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) bersedia dibubarkan jika Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) tidak mengiktiraf mereka sebagai badan induk utama negara, kata Presidennya Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Beliau berkata objektif penubuhan MSC adalah bagi meneruskan survival sukan sepak takraw negara di peringkat antarabangsa selepas Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak lagi diterima badan induk Asia itu.

"ASTAF yang akan menentukan nasib MSC atau PSM. Kami berenam (ahli gabungan) sudah setuju kalau ASTAF terima PSM, kita bubar. Kami bukan nak berebut tubuhkan persatuan, tidak. Tapi kerana ASTAF dah buat keputusan kepada PJS (Pesuruhjaya Sukan) tidak terima PSM, maka kita usahakan penubuhan MSC.

"Tetapi kalau sekiranya kami yang diiktiraf ASTAF, seperti apa yang kami bakal lakukan mereka juga kena bubar. Kalau mereka nak terus kekal jadi apa?," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung sulung badan induk itu, di sini semalam.

Pada Mei tahun lepas, ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan bekas presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Feb tahun lepas.

ASTAF melihat tindakan itu jelas melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Malah, Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusof baru-baru ini membayangkan hanya dengan mewujudkan entiti baharu berupaya menyelamatkan sukan sepak takraw negara daripada terus tercicir di peringkat antarabangsa selepas ASTAF menyatakan pendirian enggan lagi menerima PSM sebagai ahli gabungan kerana secara berterusan melanggar peraturan ditetapkan mereka.

Sementara itu, Mesyuarat Agung sulung MSC menyaksikan Suhaili yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan dipilih menduduki kerusi nombor satu.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Putrajaya Datuk Seri Khairudin Es Abd Samad dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) Datuk Markiman Kobiran masing-masing dipilih sebulat suara sebagai timbalan presiden satu dan dua.

Sementara itu, bagi empat jawatan naib presiden disandang Datuk Ismail Abg Saufi, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah serta Syed Araniri Syed Ahmad dan satu lagi bagi wakil dari Sabah dikosongkan ketika ini.

Dalam pada itu, Suhaili berkata MSC bersedia mempertaruhkan golongan profesional dalam sukan bagi mengisi kepimpinan dan pengurusan badan induk itu, sambil turut mengalu-alukan bekas pemain untuk bersama mereka memperjuangkan nasib sepak takraw negara.

Katanya, MSC juga berazam untuk tidak mengulangi kesilapan dilakukan PSM, selain akan merangka hala tuju jelas pembangunan akar umbi termasuk komited untuk menganjurkan kejohanan kompetitif tersendiri di peringkat nasional.

-- BERNAMA