KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bersedia mengubati kekecewaan rakyat Malaysia belum melihat kilauan emas pertama negara dari Sukan Olimpik Paris 2024 apabila giliran atlet para menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin optimis kontinjen negara mampu mencapai sasaran misi empat emas di Paris 2024 sekali gus melengkapkan keseluruhan 10 emas diraih Malaysia sepanjang penglibatan mereka di Sukan Paralimpik.

"MPM berserta 25 persatuan gabungan kami amat menyokong penuh dan yakin dengan barisan atlet ke Paris nanti. Atlet pun sangat fokus dan pada masa sama saya nak mereka berjuang berhabis-habisan.

"Akauntabiliti kita akan terus dapatkan emas dengan cara apa sekali pun. Jika boleh kita akan ubati hati rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis '10 Days Countdown' menjelang Sukan Paralimpik 2024 di sini, hari ini.

Kontinjen negara masih kempunan untuk menghadiahkan emas sulung pada Sukan Olimpik selepas membawa pulang dua gangsa dalam acara badminton menerusi juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia pada Paris 2024.

Pencapaian di Sukan Paralimpik pula menyaksikan Malaysia setakat ini telah mengumpul enam emas secara keseluruhan dengan tiga daripadanya diperolehi di Rio 20216 dan tiga lagi diraih di Tokyo 2020.

Megat D. Shahriman pada masa sama akan memastikan tiada unsur kontroversi mencemari perjalanan kontinjen negara di Paris 2024 dengan sentiasa mengingatkan atlet agar cuba mengelak daripada insiden tidak diingini berlaku termasuk dibatalkan penyertaan sewaktu hari pertandingan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedia berdepan kritikan termasuk di media sosial sekiranya kontinjen negara gagal mencapai misi ditetapkan pada Sukan Paralimpik kali ini.

Biarpun mereka yang bertanding adalah atlet kurang upaya, namun Megat D. Shahriman berkata kritikan sememangnya diperlukan memandangkan status mereka sebagai atlet berprestasi tinggi dan berkelas dunia.

"Netizen ketika ini tahu mana yang betul mana yang salah, bagi saya ia biasa...tak salah jika dikritik,"katanya.

Malaysia membariskan seramai 30 atlet dalam lapan jenis sukan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

-- BERNAMA