Kemenangan luar biasa ini bukan sahaja mengukuhkan status kejuaraan Alonso, yang dinobatkan sebagai juara dunia bulan lepas, tetapi juga menjadikannya pelumba pertama yang mencatat 13 kemenangan dalam satu musim.
Perlumbaan yang berlangsung di bawah terik matahari hari ini, bermula dengan menarik apabila David Almansa daripada Kopron Rivacold Snipers Team yang berlumba dari petak kesembilan tidak membuang masa untuk memecut ke hadapan dan mengetuai saingan.
Ketika perlumbaan berbaki 11 pusingan, Almansa dipintas Joel Kelso daripada BOE Motorsports, tetapi pelumba Australia itu tidak mampu bertahan lama apabila Taiyo Furusato yang mewakili Honda Team Asia berjaya memintasnya untuk mendahului perlumbaan.
Menghabiskan sebahagian besar perlumbaan di tempat ketiga, Alonso memecut ke tempat kedua pada pusingan kelapan sebelum pelumba kelahiran Colombia itu merampas tempat pertama daripada Furusato, dan mempertahankan kedudukan itu sehingga ke garisan penamat dengan catatan masa 33 minit 03.671 saat (s).
Pelumba berusia 18 tahun berkenaan menamatkan saingan di hadapan Furusato dengan kelebihan +0.088s, manakala Jose Antonio Rueda (+0.411s) daripada Red Bull KTM Ajo di kedudukan ketiga.
Selepas menamatkan 19 pusingan musim ini, Alonso kini mengumpul 396 mata, jauh meninggalkan Daniel Holgado daripada Red Bull GASGAS Tech3 di tempat kedua (236 mata), manakala Collin Veijer yang mewakili Liqui Moly Husqvarna Intact GP di ketiga (236 mata).
-- BERNAMA