FIGURA wanita bertudung ketika melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas pertahanan Liverpool, Joe Gomez dalam video rasmi kelab tersebut menjadi tanda tanya hingga tular di media sosial.

Video berdurasi 10 minit 26 saat itu dimuat naik di YouTube dan minit ke 5.10 saat itu kelihatan kelibat wanita berpakaian t-shirt berwarna putih dan bertudung bawal berwarna merah jambu.

Bagaimanapun misteri siapa sebenar wanita itu terungkai apabila mengetahui beliau adalah rakyat Malaysia kini melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fisiologi kardiovaskular di Universiti Liverpool John Moores.

Menerusi Facebooknya, Alea Ellie atau nama sebenarnya Aleah Mohammad, 37, mulakan pengajiannya pada 2015 dan mula terlibat dalam ujian saringan kelab terkemuka itu.


Dalam video Inside Training: Energy-sapping bleep tests| Keita, Fabinho & Milner yang mendapat lebih dua juta tontonan itu, kelibat Aleah nyata mendapat pujian dari netizen termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini satu kejayaan yang patut kita berasa bangga.

"Liverpool hebat musim ini kerana ada anak Malaysia juga. Syabas saudari Aleah Mohammad, semoga berjaya di sana.

"Rupa-rupanya saudari Aleah juga penyokong MU. Peluang MU tetap ada untuk musim ini," katanya di Facebook peribadinya.

Kata Murugan Parasuraman pula, "Proud of you Aleah... Keep on going making Malaysia proud".

Turut disokong, Ibni Ismail, "Hebat anak Malaysia ini... hebat peminat MU ni sanggup berkhidmat untuk team ini".

Netizen, dikenali Hunter menzahirkan rasa hormat terhadap seorang wanita dari Malaysia kerana berjaya berada dalam keluarga Liverpool sekaligus membanggakan.

"Respect wanita Melayu dari Malaysia ini... Berada dalam keluarga Liverpool," katanya.