Masters Jepun: Pang Ron-Su Yin ke suku akhir, bangkit tumbangkan pilihan ketujuh
Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin cipta kejutan apabila bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan beregu pilihan ketujuh dari Indonesia.
Astro Arena
Thu Nov 14 2024
Pasangan negara seterusnya akan bertemu beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supisara Paewsampran, bagi penentuan ke separuh akhir esok. - Foto Stadium Asro
BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, mencipta kejutan apabila bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan beregu pilihan ketujuh dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Jepun di Kumamoto sebentar tadi.
Berdasarkan ranking semasa, Pang Ron dan Su Yin berada di kedudukan ke-25 dunia, 10 anak tangga di bawah lawan berkenaan dan mereka bermula goyah dalam set pertama.
Tidak pernah berada di depan sejak meraih mata pertama, pasangan negara itu berhasil mengikat kedudukan 18-18 sebelum akur dengan kekalahan 18-21 dalam set pembukaan itu.
Skrip hampir sama berlaku dalam set kedua, di mana mereka pada satu ketika jauh ketinggalan 12-19 tetapi mula meraih mata demi mata untuk mengikat kedudukan 19-19 sebelum mencatatkan kemenangan 24-22 bagi mengheret permainan ke set ketiga.
Dalam set penentuan, Pang Ron-Su Yin mempamerkan dominasi total sejak dari awal untuk menempah tempat ke suku akhir dengan kemenangan 21-10 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam.
Mereka seterusnya akan bertemu beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supisara Paewsampran, bagi penentuan ke separuh akhir esok. -- Stadium Astro