Untuk pertama kalinya, Malaysia berjaya meraih pingat dalam kejohanan dunia seni bela diri campuran (MMA) IMMAF menerusi atlet wanita negara, Colleen Augustin.

Acara IMMAF 2019 yang diadakan di Manama, Bahrain itu menyaksikan Colleen, 21, memperoleh pingat gangsa untuk kategori strawweight senior wanita.

Dalam aksi separuh akhir sebentar tadi, Colleen telah bertemu Anastasiya Svetkivska dari Ukraine.

Pertarungan berlangsung sengit, namun nasib tidak menyebelahi anak jati Pulau Pinang itu apabila dia tewas menerusi kuncian 'armbar' pada pusingan pertama.

Meskipun mensasarkan emas, namun Malaysia tetap akur dengan pingat gangsa yang diraih itu.


Selain Colleen, kejohanan bertaraf antarabangsa itu turut disertai dua lagi atlet MMA tanahair, iaitu Brandon Tang dan Jay Chong.

Sementara itu, Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA) Rashid Salleh ketika dalam pesanan WhatsApp kepada Astro AWANI berkata, beliau bangga dengan pencapaian pasukan MMA negara.

"Saya bangga dengan pencapaian pasukan dan ini hanyalah satu batu loncatan untuk MASMMAA dan kami harap agar dapat bekerjasama dengan IMMAF untuk membangunkan sukan MMA di rantau ini," katanya.

Kejuaraan MMA amatur yang berlangsung pada 10 hingga 16 Disember ini, disertai oleh 51 negara.

Ia merupakan pertandingan yang diselenggarakan oleh International Mixed Martial Arts Federation (IMMAF).

Untuk rekod, Colleen sebelum ini telah meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Asia di Bangkok, Thailand pada 5 Mei lalu.

Dalam pertarungan tersebut, dia menewaskan Nurzhamal Sadykova dari Khzakhstan untuk menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan kedua.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Colleen wanita Malaysia yang pertama memperolehi pingat emas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

Selain MMA, Colleen turut aktif dalam sukan Muay Thai, kickboxing, Brazilian Jiu-jitsu dan Spartan Race.