Malaysia gagal untuk melayakkan diri ke peringkat akhir Kejuaraan Hoki Trofi Asia walaupun berjaya menewaskan juara bertahan, India 5-3 dalam perlawanan yang mendebarkan di Stadium Hoki Al Rayyan di Doha, Qatar, Rabu.

Sebaliknya, Pakistan melangkah ke peringkat akhir buat kali kedua dengan perbezaan gol berbanding Malaysia, selepas menewaskan Jepun 5-2 dalam perlawanan sebelum itu.

Pasukan kebangsaan perlu menang sekurang-kurangnya perbezaan enam gol terhadap India bagi menempah tiket ke peringkat akhir.

Anak buah Paul Revington mendominasi permainan awal dan ia berhasil apabila Mohd Fitri Saari meletakkan pasukan kebangsaan di hadapan pada minit ke-18 sebelum Mohd Azlan Misron menambah jaringan, dua minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.

Mohd Fitri meraih gol keduanya pada minit ke-27 menjadikan kedudukan Malaysia selesa mendahului dengan 3-0.