KEKALAHAN di tangan kelab League One, Wigan Athletic, hingga mengakibatkan kepada penyingkiran dari saingan Piala FA tempoh hari, semestinya merobek ego Manchester City selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Impian menjulang semua piala musim ini lantas terpadam, namun mereka enggan terus dihampakan dalam aksi penghabisan Piala Carabao menentang Arsenal awal pagi Isnin.

Tekanan semakin memuncak di bilik persalinan, namun pengendalinya Pep Guardiola tidak terus menekan, sebaliknya hanya menuntut anak buahnya beraksi seperti dalam perlawanan persahabatan.

"Saya fikir kami perlu cuba menikmati satu permainan yang terbaik. Ini perlawanan akhir. Kami berada di sini untuk bermain permainan jenis ini. Kenapa perlu berasa gemuruh? Mengapa perlu bimbang untuk menang, menang, menang?

“Mereka perlu bersikap tenang, tetapi pada masa sama perlu lebih berani. Itu sahaja,” ujarnya.

Dengan itu, jelas Guardiola, pemain tidak akan menyesal selepas perlawanan, sekiranya mereka seronok bermain seperti kebiasaannya.

Kalah dengan satu gol kepada Wigan pada Selasa, diburukkan lagi dengan insiden penyerangnya Sergio Aguero bergasak dengan salah seorang penonton yang menceroboh padang seusai perlawanan, serta anggota polis bertugas dilempar papan iklan oleh penyokong City sendiri, adalah sesuatu yang mereka cuba lupakan untuk membina kembali keyakinan.

Mereka kelihatan seperti sudah sebelah tangan mengenggam gelaran juara EPL musim ini dengan kelebihan 15 mata di hadapan pasukan tempat kedua Liverpool berbaki 11 perlawanan lagi, dan masih berpeluang mencabar gelaran Raja Eropah, selepas menundukkan FC Basel 4-0.

Biarpun dilihat sebagai pasukan pilihan, pengurus berusia 47 tahun itu enggan mendabik dada, mahupun memikirkan untuk meraikan secara besar-besaran sekiranya mereka menang nanti.

Apatah lagi, pasukannya akan menerima sekali lagi kunjungan The Gunners untuk aksi liga awal pagi Jumaat depan.

"Saya fikir, bercakap mengenai meraikan kejayaan sebelum sepak bermula adalah bodoh. Ia tidak masuk akal.

"Sebelum meraikan kejayaan, kami perlu beraksi, tetapi biasanya tidak ada alkohol," ujarnya.