LIVERPOOL melebarkan pendahuluan di puncak Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Newcastle United 4-0.

Gol Liverpool dijaringkan Dejan Lovren pada minit ke-11 dan Mohamed Salah menerusi sepakan penalti dua minit selepas permainan bersambung di babak kedua sebelum Xherdan Shaqiri dan Fabinho menambah derita Newcastle di penghujung permainan.

Kemenangan itu membolehkan skuad the Reds bimbingan Jurgen Klopp itu melebarkan pendahuluan di puncak liga dengan enam mata di hadapan Tottenham Hotspur di tempat kedua dan tujuh mata di depan Manchester City di tempat ketiga.

LIVERPOOL 4-0 NEWCASTLE



TOTTENHAM 5-0 AFC BOURNEMOUTH

Tottenham merampas tempat kedua daripada City selepas berkenduri gol di London dengan menewaskan AFC Bournemouth 5-0.

Christian Eriksen membuka tirai jaringan pada minit ke-16 sebelum Son Heung-Min menjaringkan gol kedua pada minit ke-23 dan Lucas Moura pada minit ke-35 dalam babak pertama.

Pada separuh masa kedua, Harry Kane menjaringkan gol keempat sebelum Heung-Min melengkapkan kemenangan 5-0 Spurs ke atas Bournemouth.



LEICESTER CITY 2-1 MANCHESTER CITY

Juara bertahan, Manchester City pula mengalami kekalahan kedua berturut-turut minggu ini selepas tumpas kepada Leicester City 2-1 di tempat lawan.

City terlebih dahulu berada di depan selepas Bernardo Silva memanfaatkan hantaran Sergio Aguero untuk merobek gawang Leicester pada minit ke-14.

Bagaimanapun, Marc Albrighton menjaringkan gol penyamaan lima minit kemudian sebelum Ricardo Pereira menjaringkan gol kemenangan juara musim 2015/16 itu.



MANCHESTER UNITED 3-1 HUDDERSFIELD

Sementara itu, pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas mengambil alih tugas pengendali kelab itu pada Khamis lepas, dengan menewaskan Huddersfield 3-1 di Old Trafford.

Dua jaringan pemain termahal kelab itu, Paul Pogba dan gol dari Nemanja Matic membantu permulaan yang sempurna buat Solskjaer yang menggantikan tempat Jose Mourinho yang dipecat minggu lepas.