LIVERPOOL membuktikan kelab Merseyside itu bukan main-main dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila konsisten menghambat penyandang juara Manchester City dalam baki saingan musim ini.

The Reds kendalian Jurgen Klopp itu meneruskan tekanan ke atas pendahulu liga tersebut apabila meraih mata ke-57 liga selepas beraksi 25 perlawanan setelah menewaskan Norwich City 3-1 di Anfield.

Biarpun tampil aksi hambar pada babak pertama diikuti jaringan Milot Rashica meletakkan The Canaries di depan seawal minit ke-48, The Reds ternyata menggunakan sepenuh pengalaman sebagai kelab berstatus dunia untuk bangkit dengan tiga gol selepas itu.

Jaringan tiga pemain bertaraf bintang - Sadio Mané (64'), Mohamed Salah (67') dan Luis Díaz (81') sudah cukup membolehkan tuan rumah melakar kemenangan 17 liga musim ini sekali gus menafikan cubaan The Canaries untuk melakukan kejutan di Anfield.

Keputusan itu juga menyaksikan Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan dalam semua kejuaraan musim ini - kekalahan terakhir tewas 0-1 kepada Leicester City dalam aksi liga di Stadium King Power pada 29 Disember lalu.


Artikel asal di Sinar Harian