ALOR SETAR: Penolong ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Victor Andrag berpuas hati dengan corak permainan serta prestasi pemainnya yang memperoleh tiga mata berharga dalam perlawanan Liga Super menentang Perak FC, malam tadi.

Menurut Victor walaupun bermain tanpa kehadiran ketua jurulatih Mohd Nafuzi Mohd Zain akibat penggantungan, namun semua pemain berjaya merealisasikan perancangan yang disusun dengan cemerlang.

"Sudah semestinya saya berpuas hati sebab dari awal lagi kita dapat merencanakan apa yang kita rancangkan, cuma kita berdepan ketandusan gol pada awal permainan tetapi akhirnya kita dapat jaringkan gol.

"Ketiadaan Mohd Nafuzi untuk tiga perlawanan dan Manuel Ott untuk dua perlawanan semestinya sedikit sebanyak mengganggu momentum akan datang, tetapi saya yakin pemain yang diberi tanggungjawab dapat buat yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang berkesudahan KDA FC menumpaskan Perak FC 3-0 di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Victor berkata semua pemain termasuk pemain import dan pemain muda skuad Sang Kenari menunjukkan peningkatan dalam persembahan mereka dan berharap momentum itu dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah berharap penyokong dapat 'bertahan' dan bersabar sementara menunggu perubahan dalam pasukan semasa jendela perpindahan pada Julai nanti.

"Pihak pengurusan yang menentukan dan kita harapkan sesuatu, bagi saya kami banyak pemain bawah 23 tahun, sudah pasti ada penyerang baru kita perlukan untuk beri kekuatan tambahan selepas ini.

"Apa yang pasti pemain sedia ada perlu bekerja keras, kita masih ada perlawanan lagi, dua perlawanan di tempat sendiri perlu dimanfaatkan," katanya yang turut berharap pemain import ditambah bagi mengimbangi pasukan itu.

-- BERNAMA