Laman facebook penyokong kelab itu Hijaukuning.Com dalam hantaran terbaharu, menyebut tahun ini merupakan paling malang dalam sejarah bola sepak negeri Kedah, sedangkan ia merupakan tahun ke-100 penubuhan pasukan bola sepak negeri itu.
"Sepatutnya kita raikan dengan penuh kebanggaan dan keceriaan...Semakin tenat dan sukar untuk diubati. Semoga perkara ini boleh diselesaikan dengan kadar segera.
"Bila dah berlegar-legar di alam maya, sedikit sebanyak dah mencalar reputasi gah skuad Hijau Kuning dan menjadi bahan ejekan peminat pasukan lain," menurut hantaran tersebut.
Ia dipercayai merujuk kepada kemelut yang dihadapi KDA FC pada masa ini yang semakin parah susulan kegagalan kelab itu melunaskan gaji para pemainnya.
Terdahulu tindakan memboikot latihan oleh para pemain itu telah didedahkan oleh wartawan Astro Arena dalam satu hantaran di laman X miliknya.
Wartawan tersebut mendakwa para pemain Kedah tidak menerima gaji mereka dan hanya menerima satu bulan setengah gaji sahaja, sepanjang tahun ini.
"KDA FC KRITIKAL. Hari ini memasuki hari kedua pemain Kedah boikot latihan. Difahamkan sepanjang 2024, pemain hanya dibayar 1.5 bulan sahaja. Itu pun secara ansuran.
"Selepas Habib dan Fikri Che Soh, ramai lagi pemain bakal tinggalkan Kedah. Lebih parah, Kedah masih dalam transfer ban," tulis wartawan sukan itu.
Sementara itu usaha Bernama untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu itu daripada pemilik KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, masih gagal.
-- BERNAMA