KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Selangor FC 2-0 dalam aksi penuh dramatik saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam tadi.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermula garang namun tuan rumah mendominasi permainan apabila terlebih dahulu mencetak gol menerusi ayam tambatannya Faisal Halim pada minit ke-20.

Gol pertama TFC terhasil apabila Faisal yang menyambar umpanan Kipre Tchetche dari dalam kotak penalti bijak memperdaya dua pertahanan Selangor sebelum merembat kencang untuk menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Mohd Khalid, sekali gus meletakkan Terengganu di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian Michael Feichtenberner mengatur gerakan balas dan menghasilkan percubaan pertama pada minit ke-26 namun rembatan Yazan Mousa Mahmoud berjaya ditepis penjaga gawang, Rahadiazli Rahalim.

Pada minit ke-37, kem tuan rumah berpeluang menambah jaringan menerusi percubaan cantik pemain tengah Syafiq Ismail namun rembatannya sedikit tersasar melewati gawang.

Peluang keemasan Selangor FC hadir pada minit ke-43 namun malangnya tandukan Shahrel Fikri Md Fauzi juga sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang.

Pada minit ke-60, skuad Penyu mengesahkan kemenangan selepas menjaringkan gol kedua menerusi Kipre Tcehtche.

Gol kedua diperoleh menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil Zulkarnain Zakaria selepas pemain Selangor Yazan Mousa menjatuhkan Syafik.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu FC berjaya naik ke tangga ketujuh Liga Super selepas mengumpul enam mata manakala Selangor FC turun ke tangga kelapan dengan lima mata.

-- BERNAMA