Kelantan FC terus dirundung malang apabila tewas 1-6 kepada Kedah Darul Aman di Kota Bharu.
Selepas dibelasah Sabah 0-7 minggu lalu, sekali gus menjadi pasukan pertama dibolosi lebih 100 gol semusim dalam sejarah Liga Super, tiada sebarang petanda kebangkitan mampu ditunjukkan The Red Warriors.
Dengan penguasaan penuh Hijau Kuning dalam separuh masa pertama, Ifedayo Olusegun hanya memerlukan setengah jam untuk mencatatkan hatrik, termasuk menyempurnakan dua sepakan penalti, masing-masing pada minit keenam dan 26.
Wan Amirul Afiq Abdul Rahman turut mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-29, seminit sebelum Ifedayo melakar hatrik.
Dengan Kedah mengeluarkan beberapa pemain utamanya dalam babak kedua, Kelantan akhirnya memperoleh satu gol menerusi jaringan Haziman Che Ngah pada minit ke-73.
Bagaimanapun, Ifedayo sekali lagi menghantui pemain tuan rumah menerusi satu lagi jaringannya pada minit ke-80 sebelum Ariff Farhan Md Isa melengkapkan malam gemilang Sang Kenari pada minit ke-87.
Aksi di Cheras pula menyaksikan Kelantan United turut tumbang 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC.
Selepas Matko Zirdum membuka jaringan pada minit ke-21, Paulo Josue dan Tchetche Kipre melebarkan kelebihan buat tuan rumah dalam babak kedua, masing-masing pada minit ke-68 dan 78.