Perancis meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Piala Dunia 2014 apabila membelasah Switzerland dengan jaringan 5-2 dalam perlawanan Kumpulan E di Arena Fonte Nova, Salvador, Bahia awal pagi tadi.

Skuad ‘Les Blues’ kendalian jurulatih Didier Deschamps banyak menguasai permainan sejak tiupan wisel sepak mula dimulakan dan gandingan rangkaian barisan serangan diterajui Karim Benzema, Olivier Giroud, Mathieu Valbuena.

Perancis membuka malam pesta gol mereka pada minit ke 17 hasil jaringan Olivier Giroud sebelum Blaise Matuidi menambah luka Switzerland dengan gerakan penyudahnya hasil umpanan Karim Benzema.

Perancis seharusnya boleh menambahkan jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas aArim Benzema dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan Switzerland, Johan Djourou.

Namun, sepakan penalti Benzema itu mudah dibaca oleh penjaga gol Switzerland, Diego Benaglio yang menepis bola tersebut manakala cubaan susulan daripada Yohan Cabaye selepas itu terkena palang gol.

Mathieu Valbuena menambah gol ketiga selepas serangan balas Perancis dilakukan oleh Karim Benzema kemudian mencari Olivier Giroud yang bijak melorongkan bola kepadanya.

Sehingga tamat separuh masa pertama, Perancis mendahului Switzerland dengan 3-0 dan bermula separuh masa kedua, Switzerland dilihat bagaikan tidak mampu untuk mengekang asakan bertubi-tubi pasukan Perancis.

France
(AP Photo/David Vincent)

Penjaring terbanyak pasukan Perancis, Karim Benzema akhirnya menambahkan koleksi gol peribadinya dan juga gol keempat Perancis sebelum penyerang Newcastle United, Moussa Sissoko menjaringkan gol kelima.

Namun begitu, kealpaan barisan pertahanan Perancis pada minit-minit akhir perlawanan dihukum dengan dua jaringan Switzerland dari pemain gantian, Blerim Dzemaili dan Granit Xhaka.

France
EPA/ALI HAIDER

Sementara dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E, Ecuador menghidupkan sisa peluang untuk terus mara ke pusingan kalah mati apabila menyingkirkan Honduras 2-1 dalam perlawanan di Arena da Baixada di Curitiba, Parana awal pagi tadi.

Pemain Ecuador, Enner Valencia menjadi wira apabila menjaringkan dua gol selepas Ecuador ketinggalan kepada Honduras hasil jaringan Carlo Costly.

Dengan kemenangan ini, Perancis selesa menerajui Kumpulan E dengan enam mata dan layak ke pusingan kalah mati manakala Switzerland berkongsi tiga mata bersama Ecuador dan Honduras pula sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia.

Perancis merupakan pasukan kedua Eropah selepas Belanda yang layak ke pusingan kedua Piala dunia 2014.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Yohan Cabaye (Perancis) dan Luis Antonio Valencia (Ecuador).