TEGUCIGALPA (Honduras): Honduras pada Rabu mengumumkan bahawa negara itu akan menamatkan perjanjian ekstradisi dengan Amerika Syarikat (AS), menuduh Washington campur tangan dalam hal ehwal dalamannya, lapor Xinhua.

Dalam surat kepada kedutaan AS yang disiarkan di platform media sosial X, Menteri Luar Honduras Enrique Reina mengumumkan "keputusan Kerajaan Republik Honduras untuk menamatkan perjanjian ekstradisi" itu.

Terdahulu pada Rabu, Presiden Honduras Xiomara Castro telah meminta Reina untuk mengecam perjanjian ekstradisi dengan AS, kerana mendakwa terdapat "campur tangan" AS dalam hal ehwal dalaman negara itu.

Di bawah undang-undang antarabangsa, penamatan perjanjian adalah tindakan unilateral oleh pihak yang mahu menamatkan penyertaannya dalam perjanjian itu.

"Campur tangan dan intervensi AS, serta niatnya untuk mengarahkan politik Honduras melalui kedutaannya dan wakil lain adalah tidak boleh diterima," kata Castro dalam satu hantaran di X.

Kedutaan AS di Honduras belum memberikan sebarang komen segera mengenai tindakan ini.

Tindakan itu dibuat selepas duta AS ke Honduras Laura Dogu menyatakan "kebimbangan" dan "kejutan" kepada media tempatan mengenai lawatan komander tentera Honduras ke Venezuela baru-baru ini dan pertukaran mereka dengan rakan sejawat di Venezuela dengan seorang daripadanya dirujuk sebagai "penyeludup dadah".

Dogu secara khusus merujuk kepada Menteri Pertahanan Honduras Jose Manuel Zelaya dan ketua Turus Bersama Roosevelt Leonel Hernandez, yang mengetuai delegasi Honduras sebagai pemerhati dalam Sukan Kadet Dunia Majlis Sukan Tentera Antarabangsa ke-4 yang diadakan dari 16 hingga 24 Ogos di Caracas, Venezuela.

Dalam reaksinya, Reina berkata di X bahawa campur tangan Dogu dalam hal ehwal dalaman negara itu adalah "tidak dapat diterima".

-- BERNAMA