Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata insentif tertinggi adalah kepada atlet Para SUKMA melibatkan RM2.26 juta, manakala atlet SUKMA berjumlah RM1.84 juta.
"Saya ucapkan selamat dan syabas kepada semua atlet SUKMA dan Para SUKMA yang telah menaikkan nama Ibu Pertiwi, sebagai negeri yang jaguh dalam sukan.
"Doakanlah Sarawak akan terus maju dan mempunyai pendapatan lebih, dapatlah kita membangunkan sektor sukan di negeri ini," katanya berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak Para SUKMA di sini hari ini.
Beliau juga mahu Sarawak akan terus maju dari sudut pembangunan sukan dengan menginspirasikan New Zealand sebagai contoh kerana kehebatan negara terbabit dari segi sukan.
"Kita juara SUKMA dan Para SUKMA 2024. Ini adalah satu rekod cemerlang oleh atlet dari Sarawak.
"Kita meletakkan tanda aras kita dengan begitu tinggi sekali. Sudah tentu kita akan berlatih untuk SUKMA 2026 di Selangor kelak, kita juga akan berlatih untuk Sukan SEA dan Para ASEAN pada 2027 selaku penganjur bersama," katanya.
Sarawak selaku tuan rumah muncul juara SUKMA edisi ke-21 dengan mengumpul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa, manakala 82 emas, 51 perak dan 72 gangsa pada temasya Para SUKMA.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan insentif berjumlah RM500,000 kepada atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin atas kejayaannya mempertahankan pingat emas dengan memecahkan rekod dunia pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Sebelum ini, kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberi insentif RM15,000 kepada atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat emas pada SUKMA dan Para SUKMA manakala perak (5,000) dan gangsa (RM3,000).
-- BERNAMA