RAYO VALLECANO 3 REAL MADRID 2

Oscar Trejo menjaringkan gol kemenangan daripada sepakan penalti untuk memastikan Real Madrid terlepas peluang kembali ke puncak LaLiga selepas tewas 2-3 kepada Rayo Vallecano di Estadio de Vallecas awal pagi tadi.

Madrid kendalian Carlo Ancelotti kekal ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, selepas tewas kepada Vallecas, di mana pengadil, Juan Martinez Munuera, dan video bantuan pengadil (VAR) memainkan peranan penting dalam perlawanan kali ini.

Gol sepakan penalti Luka Modric dan tandukan Eder Militao meletakkan Madrid di depan selepas Santiago Comesana membuka jaringan buat tuan rumah tetapi Alvaro Garcia kemudian kembali mengikat kedudukan sebelum tamat babak pertama.

Di sebalik aksi menarik sepanjang 45 minit pertama itu, masih ada drama dalam separuh masa berikutnya apabila Dani Carvajal didapati masuk ke dalam kawasan penalti terlalu awal walaupun Thibaut Courtois berhasil menyelamatkan sepakan penalti Trejo.

Trejo kemudian tidak mensia-siakan peluang keduanya untuk menyempurnakan sepakan penalti berkenaan untuk memastikan kemenangan pasukannya pada minit ke-67.

Madrid seterusnya akan melayani kunjungan Cardiz awal pagi Jumaat ini manakala Rayo pula akan berdepan Celta Vigo pada hari yang sama sebelum saingan LaLiga berehat bagi memberikan laluan kepada Piala Dunia Qatar.