Stadium Shah Alam dipilih sebagai venue bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara tuan rumah Malaysia dan Thailand pada Selasa (29 Ogos).

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan perkara itu selepas satu mesyuarat penyelarasan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali pagi ini.

"Perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA 2017 antara Malaysia dan Thailand akan diadakan di Stadium Shah Alam dengan harga tiket bernilai RM21.20 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST))," menurut kenyataan itu.

Perlawanan bermula 8.45 malam.

Sebelum ini, venue bagi acara yang menawarkan ibu segala pingat itu dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya ia melibatkan pasukan negara beraksi di pentas akhir.

Malaysia mengesahkan tempat di final selepas menundukkan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir semalam, manakala Thailand turut mara setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar dalam satu lagi perlawanan.

Dalam pada itu, perlawanan penentuan pingat gangsa antara Indonesia menentang Myanmar akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 4.30 petang pada hari yang sama.

-- BERNAMA