Skuad bola sepak lelaki negara sekadar berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 1-0 di tangan Thailand dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Thailand memperolehi gol tunggal hasil jaringan sendiri penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli pada minit ke-39 sekaligus menggondol pingat emas, yang turut digelar ‘ibu segala pingat’.

Bermula daripada sepakan penjuru Thailand, Haziq gagal membuang bola sebaliknya tertumbuk ke gawang sendiri.

Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Pasukan Malaysia gagal membolosi gawang walaupun beberapa cubaan bahaya ke gawang gol lawan.

Tamat aksi sepenuh masa, Thailand menang dengan 1-0.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia gagal menamatkan penantian 28 tahun merangkul pingat emas acara itu selaku tuan rumah selepas kali terakhir dikalungkan pingat emas di hadapan penyokong sendiri pada 1989.

Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Sementara itu, Indonesia bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Myanmar 3-1 untuk meraih pingat gangsa bola sepak lelaki di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang tadi.

Keputusan itu mengulangi pencapaian gangsa diraih Indonesia pada tiga edisi terdahulu iaitu 1981 di Manila, 1989 di Kuala Lumpur dan 1999 di Brunei.