Kerajaan Terengganu menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM995,000 kepada kontinjen Terengganu yang merangkul juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Perak, September lalu, malam tadi.

Insentif kemenangan disampaikan Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar kepada para atlet, jurulatih, pengurus pasukan serta persatuan sukan yang terlibat menyumbang sebanyak 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa di Stadium Tertutup, Gong Badak, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ketua Kontinjen, Samiun Salleh, dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, (MSNT) Ibni Amin Busu.

Atlet olahraga wanita Azreen Nabila Alias yang juga Olahragawati Sukma diberikan insentif khas pakej menunaikan umrah selepas kejayaan merangkul empat pingat emas dalam temasya dwitahunan itu.

Turut menerima insentif sama ialah atlet berbasikal, Nur Aisyah Mohd Zubir yang berjaya merangkul tujuh pingat emas iaitu penyumbang terbesar kontinjen Terengganu pada kejohanan itu.

BACA: Terengganu juara keseluruhan Sukma ke-19 Perak

BACA: Dua atlet Sukma Terengganu turut positif ujian doping


Ahmad Shamsuri dalam ucapannya berkata pemberian insentif berkenaan adalah sebagai hadiah dan bukti kerajaan negeri dalam mengotakan janji selepas kejayaan merealisasikan 'Win Back Mission 2018' pada Sukma 2018.

"Ini membuktikan segala persiapan dan perancangan pembangunan sukan kita berada di landasan yang tepat dan betul. Kerajaan Terengganu amat memberi sokongan penuh terhadap pembangunan sukan terutama sukan berprestasi tinggi," katanya.

Selaras dengan itu katanya, beliau berharap MSNT dapat menggariskan perancangan lebih rapi bagi membuat persiapan memastikan Terengganu kekal sebagai juara pada Sukma 2020 yang akan berlangsung di Johor dua tahun lagi.

-- BERNAMA