KOTA TINGGI: Kenshin Mizushima muncul juara bagi kategori 18-24 tahun IRONMAN 70.3 Desaru Coast selepas menamatkan kesemua tiga cabaran dalam masa empat jam 18 minit dan 20 saat (s), pada acara sukan yang berlangsung di sini pada Ahad.

Atlet dari Jepun yang memenangi gelaran Ironmannya yang pertama itu menewaskan atlet Malaysia Darrell Tan (5:35.06s), manakala Francesc Batllo Simo dari Sepanyol di tempat ketiga (5:37.0.5s).

Kesemua peserta bermula dengan berenang sejauh 1.9 kilometer (km), diikuti berbasikal 90km, sebelum menamatkan perlumbaan dengan larian sejauh 21.1km.

Bercakap kepada media selepas perlumbaan itu, Mizushima, 21, berkata ia satu perlumbaan yang mencabar dan beliau tidak jangka akan memenanginya.

"Untuk IRONMAN 70.3 Desaru Coast, saya berlatih dengan bersunguh-sungguh sejak dua bulan lepas. Saya amat gembira untuk memenanginya.

"Ini kejayaan terbaik saya kerana ini penyertaan Ironman saya yang kedua. Oleh sebab itu, saya amat gembira untuk berjaya mencapai tahap ini," kata pelajar Universiti Mae Fah Luang di Chiang Rai, Thailand itu.

Kemenangan ini membolehkan Mizushima layak ke Kejohanan IRONMAN 70.3 Dunia di Finland yang akan belangsung, Ogos tahun hadapan.

Terdahulu Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyempurnakan pelepasan peserta IRONMAN 70.3 Desaru Coast itu pada 7.10 pagi dengan sejumlah 1,475 atlet daripada 50 negara mengambil bahagian.

Pada Sabtu, dua atlet Malaysia, Nigel Ng Kar Kean dan Mayumi Shinozuka menjuarai acara 5150 Triatlon Desaru Coast, masing-masing bagi acara lelaki dan wanita kategori 18-24 tahun.

-- BERNAMA