BEKAS pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery menjadi pilihan Arsenal untuk menggantikan Arsene Wenger, selepas 22 tahun mengurus kelab London itu.

Walaupun mendapat pengurus yang berprofil tinggi, ada penyokong the Gunners yang kecewa dengan pemilihan itu kerana mahu bekas ketua pasukan Arsenal, Mikel Arteta sebagai pengurus.

Bagaimanapun ada yang berasa mereka terpaksa berpuas hati seorang pengurus yang berpengalaman dan bukan melakukan eksperimen dengan Arteta, yang kini berkhidmat sebagai pembantu kepada Pep Guardiola di Manchester City.

Menurut Ketua Editor portal bola sepak semuanyabola.com, Ahmad Muzammil, Emery berjaya meyakinkan Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis dengan cadangan penyelesaian dan bagaimana untuk membaiki prestasi pemain the Gunners yang sedia ada, selepas membuat analisis forensik terhadap semua pemain.

“Selain itu, Emery juga mempunyai perancangan untuk membina skuad Arsenal dengan kekuatan penyerang mereka, Pierre-Emerick Aubameyang dan Aaron Ramsey.” kata Ahmad Muzammil.

“Cuma satu kelemahan ketara Emery adalah mengurus hubungan antara pemain dan pengurus. Contohnya masa di PSG, Emery gagal kawal ‘ego’ Neymar. Selain itu Emery juga dipijak kepala oleh Marco Verratti dan Angel Di Maria apabila disuruh bermain posisi yang berbeza.”

Unai Emery memenangi 3 Liga Europa berturut-turut bersama Sevilla. - Gambar fail.

Kelemahan lain termasuk gagal menyatukan skuad PSG yang dikatakan berpuak-puak akibat ramai pemain bertaraf bintang dalam skuad tersebut.

Ini bukan masalah yang bakal dihadapi Emery di Arsenal malah Aubameyang yang mempunyai masalah disiplin semasa di Dortmund, banyak membantu rakan sepasukannya meningkatkan keyakinan seperti yang dilakukan terhadap Alexandre Lacazette.

“Antara kekuatan Emery adalah dia bekerja dengan ’scout’ yang hebat dan mempunyai hubungan yang baik dengan Ramón Rodríguez Verdejo yang lebih dikenali sebagai Monchi di Sevilla. Jadi dengan adanya Sven Mislintat bersamanya, mungkin Emery boleh berjaya di Arsenal.” tambah Ahmad Muzammil.

Monchi merupakan kunci kejayaan Sevilla termasuk semasa Emery menjadi pengendali di kelab Sepanyol itu.

Monchi juga membina rangkaian 700 penjejak bakat pemain bola sepak di seluruh dunia dengan membawa pemain seperti Dani Alves, Federico Fazio, Ivan Rakitic dan Luis Fabiano, selain resepi kejayaan pasukan Sevilla dari segi membeli dan menjual pemain bagi mengaut keuntungan.

Bagi memperkuatkan skuad menghadapi Liga Perdana Inggeris (PL) musim depan, Ahmad Muzammil berharap dua pemain dapat sertai the Gunners.

“Saya berharap pertahanan kanan, Elseid Hysaj dari Napoli dapat sertai Arsenal untuk memberi persaingan kepada Hector Bellerin selain pemain sayap kiri, Anthony Martial dari Manchester United,” jelas Ahmad.

“Buat masa sekarang Arsenal tidak mempunyai pemain sayap yang mantap dan Martial pilihan terbaik.”

Arsenal dikatakan mempunyai £50 juta untuk Emery memperkukuhkan skuad the Gunners, satu jumlah yang agak kecil berbanding skuad lain dalam PL seperti Manchester City, United dan juga Liverpool.

Bagaimanapun jumlah tersebut dikatakan memadai untuk mengharungi PL dan Liga Europa dengan misi kembali menduduki kelompok empat pasukan terbaik di England.