KUALA LUMPUR: Sukar tetapi tak mustahil ...


Ringkasan AI
  • Dengan taktikal yang betul dan mentaliti mahu menang, tiga mata masih mungkin diraih. Malaysia perlu menang dua lagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 untuk layak ke peringkat ketiga kelayakan. Menang melawan Republik Kyrgyz dan Taiwan akan menempa sejarah bola sepak negara.


Memang tidak dinafikan, ketiadaan enam pemain utama skuad Harimau Malaya mungkin meresahkan ketika pasukan kebangsaan berdepan Republik Kyrgyz malam ini.

Tetapi dengan taktikal yang betul oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan-Gon, selain mentaliti mahu menang, tiga mata mampu diraih.

Malaysia tiada pilihan selain menang baki dua perlawanan Kumpulan D aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 untuk layak buat pertama kali ke peringkat ketiga kelayakan.

Menang ke atas Republik Kyrgyz di Bishkek malam ini dan menang menentang Taiwan di Bukit Jalil 11 Jun ini, skuad Harimau Malaya akan menempa sejarah bola sepak negara.

Mungkin ada yang tidak menaruh keyakinan, tetapi dalam bola sepak semuanya boleh berlaku, kejutan sudah menjadi lumrah.

Selagi belum tamat permainan, skuad negara sentiasa mempunyai peluang.

Itu ditegaskan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon yang tampil dengan semangat pantang menyerah sebelum berjuang.

Beliau bukan sahaja perlu mencorak taktikal yang ampuh bagi menentang Republik Kyrgyz malam ini, malah menerapkan mentaliti mahu menang dalam kalangan pemain skuad kebangsaan.

Tiada Faisal Halim, Arif Aiman, Darren Lok, Romel Morales, Syihan Hazmi sudah tentu mengugat moral pasukan.

Namun, ini masanya untuk pemain seperti Sapawi Rasid, Akhyar Rashid kembali menyinar, memikul impian jutaan rakyat Malaysia.

Ini juga peluang kepada pemain muda seperti Haqimi Azim untuk menempa nama, membuktikan dia adalah pelapis berharga untuk Harimau Malaya.

Azri Ghani, Kalamullah Al-Hafiz dan Sikh Izhan mempunyai peluang mencuri perhatian Pan-Gon, membuktikan mereka tidak kurang hebatnya berbanding Syihan.

Republik Kyrgyz bukanlah 'kebal', skuad Harimau Malaya telah menewaskan mereka pada aksi di Bukit Jalil tahun lalu.

Jadi, janganlah sesekali menyerah sebelum turun berjuang.

Biarlah 'berjalan sampai ke batas, berlayar sampai ke pulau', cipta sejarah buat bola sepak negara