Pasukan Kelantan bermula dengan langkah sumbang selepas kalah 3-5 kepada wakil Myanmar, Yangon United pada aksi pembukaan kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Thuwunna, Yangon, Rabu malam.

Ketiadaan beberapa pemain import termasuk Mohamed Ghaddar dan Mohamed Shawky yang dilanda kecederaan, nyata memberi kesan kepada skuad 'The Red Warriors' pada perlawanan berkenaan selepas pengendali mereka, Steve Darby hanya menurunkan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan.

Kyaw Ko Ko muncul wira pasukan tuan rumah selepas meledak jaringan hatrik pada minit ke-28, 52 dan 89 manakala dua lagi gol disumbangkan penyerang dari Brazil, Emerson Reis Luiz pada minit kelapan dan 45, demikian menurut laman web AFC;www.the-afc.com.

Tiga gol Kelantan dijaringkan oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-47 dan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi (minit ke-63 dan 94).

Terdahulu, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang, Ahmad Shakir Mohd Ali dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Lee Min Hu dari Korea Selatan kerana melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.

Dalam satu lagi perlawanan, pasukan South China dari Hong Kong gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas kalah 1-3 kepada kelab dari Vietnam, XM Vissai Ninh Binh di Stadium Hong Kong.

Pada aksi kedua kumpulan 12 Mac ini, Kelantan akan melayan kunjungan South China di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu manakala XM Vissai Ninh Binh berdepan Yangon United di Stadium Ninh Binh.