DOHA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyeru semua pihak berhenti menuding jari dan melihat prestasi kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon pada Piala Asia 2023 dari sudut yang positif.

Hamidin berkata menjadi lumrah dalam bola sepak ada kalanya pasukan terpaksa menelan kepahitan mengalami kekalahan, dan kekecewaan dialami itu perlu diurus dengan baik untuk bangkit lebih cemerlang.

"Dalam bola sepak bukan boleh menang sepanjang masa, ada masa kita kalah dan kita perlu bangkit balik. Apabila kalah ia menjadi satu pengalaman dan kita perlu bangkit balik, kita kena kerja (lebih) kuat. Saya bagi tahu semua pemain dan Kim Pan Gon, apabila kalah jangan salahkan siapa-siapa.

"Dalam bola sepak bila kalah pasti ada kelemahan tapi kita lihat secara keseluruhan... media, penyokong perlu beri sokongan untuk pasukan jadi kuat balik. Ini bukan pasukan saya, pasukan untuk semua rakyat Malaysia," katanya pada sidang media rangkuman prestasi skuad Harimau Malaya di sini.

Hamidin turut menjadikan dua gergasi Asia iaitu Jepun dan Korea Selatan yang masing-masing turut mengalami kekalahan serta hampir ditewaskan pada kempen kali ini sebagai contoh bagi menyokong kenyataan beliau.

Pada masa sama, Hamidin tidak menganggap penampilan pasukan negara pada Piala Asia kali ini sebagai kegagalan apabila menamatkan saingan Kumpulan E di posisi paling bawah dengan mengumpul satu mata sekali gus tidak layak ke pusingan 16 terbaik.

"Saya tak katakan ini satu kegagalan, kita (kembali) berada di pentas ini setelah sekian lama dan banyak pengalaman yang pasukan dapat belajar di sini dan para pemain pun sedar kita perlu terus perbaiki mutu permainan," katanya.

Pada Piala Asia 2023 di sini, Malaysia mengalami kekalahan masing-masing 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain sebelum menampilkan persembahan menakjubkan dengan mencatat keputusan seri 3-3 menentang juara dua kali Korea Selatan.

Dalam pada itu, beliau berkata pascanilai akan dilakukan bagi melihat secara mendalam berkaitan kelemahan dan aspek penambahbaikan bagi memastikan pasukan negara berada pada tahap terbaik sebelum menyambung kempen pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Mac ini.

Hamidin berkata FAM dan Pan Gon telah berbincang untuk menghantar pasukan menjalani kem latihan pusat bersama beberapa siri aksi persahabatan sama ada di dalam ataupun di luar negara dengan antara pilihan lokasi adalah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata ia sebagai usaha memastikan kecergasan pemain negara berada pada tahap terbaik memandangkan mereka terpaksa menunggu hingga Mei depan apabila saingan Liga Malaysia kembali berlangsung untuk beraksi secara kompetitif.

"Sekarang kita sudah ada enam mata daripada dua perlawanan dan ada lagi baki empat perlawanan, jadi kita tak boleh terlepas peluang untuk mencipta sejarah ke pusingan ketiga (kelayakan Piala Dunia 2026) dan menjadi 18 pasukan menempah tiket awal ke Arab Saudi (Piala Asia 2027).

"Persiapan untuk perlawanan Mac ini sangat penting, mereka tengah berusaha untuk dapatkan perlawanan di Malaysia ataupun di luar sebelum ke Oman," kata Hamidin.

Malaysia ketika ini berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan pasukan negara kini mendahului saingan Kumpulan D dengan enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0, November lepas.

Pasukan negara dijadualkan bertemu Oman di Muscat pada 21 Mac dan menjadi tuan rumah kepada pasukan itu pada 26 Mac, diikuti Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun sebelum menjadi tuan rumah kepada Taiwan pada 11 Jun.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa masih wujud 'tangan ghaib' yang mengganggu-gugat pasukan negara terutama pada kempen Piala Asia di sini.

-- BERNAMA