KEJOHANAN Phillip Island diteruskan tanpa kehadiran penonton, dan kekosongan itu kini dipenuhi dengan hidupan liar tempatan.

Dua pemain tenis terpaksa berhenti perlawanan mereka seketika di Melbourne Park Isnin malam, selepas gelanggang diserang burung camar dan serangga, menurut ciapan terbaharu Tennis Podcast di akaun rasmi Twitter.

Madison Brengle dari Amerika Syarikat berdepan pemain Kanada, Bianca Andreescu, apabila keadaan menjadi seperti babak dalam filem Alfred Hitchcock, 'The Birds'.

Perlawanan tersebut terpaksa ditangguhkan selepas sekawan burung camar memenuhi gelanggang.



Brengle turut dilihat cuba menghalau burung berkenaan menggunakan raket selepas permainan disambung semula.

Selain burung camar, gelanggang berkenaan turut diserang kumbang.

Permainan tetap diteruskan dan menyaksikan Andreescu berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan Brengle 7-6(4), 4-6, 6-3, untuk berdepan Zarina Diyas.



Brengle dan Andreescu terkeluar daripada Kejohanan Terbuka Australia minggu lepas selepas kedua-dua mereka kalah pada pusingan kedua.