KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan merangka tindakan bagi menyelesaikan permasalahan yang disuarakan oleh para atlet negara berhubung kurangnya penyertaan dalam kejohanan kompetitif.

Menterinya Hannah Yeoh berkata permasalahan tersebut antara yang dibangkitkan menerusi sesi libat urus bersama 320 atlet daripada pelbagai latar belakang sukan dan memerlukan jalan penyelesaian supaya mereka berpeluang untuk terus menghasilkan kejayaan buat negara.

"Isu mereka tidak mempunyai pendedahan cukup untuk menyertai kejohanan kompetetif juga ada dibangkitkan dalam libat urus itu.

"Mereka (atlet) mahu dihantar ke lebih banyak kejohanan supaya dapat memperbaiki prestasi selain meraih pengalaman," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Lawn Balls Open Fours di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Selain itu, menurut Hannah permasalahan berbangkit berkaitan kos sewa fasiliti sukan dikenakan bagi menganjurkan kejohanan di dalam negara juga akan diteliti pihak KBS.

"Dalam libat urus itu juga banyak persatuan sukan meminta supaya sewa diturunkan kerana sukar untuk mereka menyewa fasiliti kalau sewanya tinggi.

"Atlet mahukan lebih banyak kejohanan tetapi bagi penganjur kalau harga sewa tidak diturunkan kejohanan akan menjadi terlalu mahal untuk mereka anjurkan, jadi permasalahan ini perlu diselesaikan bersama," katanya.

Menurutnya, KBS yang kini dalam fasa mengumpul segala dapatan berhubung isu berbangkit dalam industri sukan pada sesi libat urus baru-baru ini, akan mencari jalan penyelesaian terbaik bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan urusan sewa tersebut terletak di bawah kendalian mereka.

-- BERNAMA