Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melantik ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata mesyuarat Pasukan Petugas FAM - Penilaian Pasukan-Pasukan Kebangsaan pagi tadi memutuskan untuk membuka iklan tawaran jawatan berkenaan kepada jurulatih asing mahupun tempatan menggantikan Dollah Salleh yang meletak jawatan pada 4 September lalu.

"Memang dari sudut tertentu, ramai yang mahukan ia dalam kalangan jurulatih asing tetapi kita terbuka. Siapa yang mencapai kriteria, tiada masalah untuk kita memilihnya.

"Kriteria yang kita tekankan ialah individu tersebut mestilah memiliki keupayaan dan mempunyai tahap profesionalisme yang baik," beliau dipetik berkata dalam laman sesawang rasmi FAM, www.fam.org.my.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, berkata sehingga tempoh itu, ketua jurulatih skuad B-23 negara Datuk Ong Kim Swee akan kekal sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan.

Sementara itu, Abdul Mokhtar berkata FAM juga akan menubuhkan satu panel pemilihan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) yang terdiri daripada pegawai MSN dan wakil FAM dalam masa terdekat untuk membuat keputusan mengenai jawatan ketua jurulatih B-23 negara.

"Biarpun kita ketahui Kim Swee masih merupakan ketua jurulatih skuad B-23 negara sehingga kontraknya tamat penghujung Disember 2015, beliau akan teruskan tugasannya selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan ketika ini sehingga tempoh berkenaan.

"Dalam tempoh seminggu ini juga, saya akan berjumpa dengan beliau untuk menjelaskan situasi ini kerana memahami beliau turut memerlukan satu keputusan pasti mengenai statusnya," katanya.

Mengenai status sama ada program Harimau Muda akan dikekalkan atau tidak, beliau berkata pihaknya akan membuat keputusan selepas menjalankan perbincangan dengan golongan pakar dalam industri bola sepak termasuk media, teknikal (bekas pemain dan jurulatih) dan akademik sebelum membuat keputusan akhir pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM.

"Ia membabitkan semua program Harimau Muda sedia ada iaitu bagi skuad B-23, B-21 dan B-19 negara," katanya.