Johor Darul Takzim melonjak ke tangga ketiga susulan kemenangan tipis 3-2 ke atas Terengganu di Larkin.

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Guiza menjadi nadi utama Johor Darul Takzim dengan meledak dua gol.

Keadaan padang basah sedikit menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan.

Terengganu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi tonggak importnya, Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-10.

Johor Darul Takzim bangkit dengan aksi lebih tersusun selepas itu.

Hasilnya tuan rumah mendapat sepakan penalti selepas pemain skuad Peteh, Rosdi Talib menjatuhkan Nurul Azwan Roya.

Guiza tenang mengambil sepakan untuk menewaskan penjaga gol lawan bagi mengikat kedudukan.

Dia terus cemerlang dengan jaringan kedua sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Johor Darul Takzim semakin selesa dengan Nurul Azwan menjaringkan gol ketiga tuan rumah.

Terengganu bagaimanapun membalas sekali lagi menerusi jaringan Effa Owona pada minit ke-55.

Johor Darul Takzim terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ahmad Tharmini Saiban diperintah keluar padang akibat menerima dua kad kuning.

Keputusan 3-2 itu kekal hingga wisel penamat.