Katanya, usaha mempertajamkan kemahiran pemain pertahanan membuahkan hasil apabila berjaya membawa pulang kemenangan besar dengan menewaskan Selangor FC 6-1.
"Falsafah, tingkah laku taktikal adalah untuk mengambil risiko sepanjang masa kerana memperagakan corak permainan serangan dengan mengawal bola sepanjang masa serta mematahkan setiap gerak-geri penyerang lawan di bahagian pertahanan.
"Ia amat sukar tetapi pemain berlatih kaedah ini setiap hari dan malam ini (Sabtu) semua pemain beraksi sebagai satu pasukan dengan baik sekali dan sudah pasti ada pemain dengan kemahiran individu yang cemerlang," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil menyifatkan kekalahan tersebut sebagai sesuatu yang mengecewakan selain mengakui banyak perkara yang perlu diperbaiki pasukan Gergasi Merah selepas ini.
"Keputusan ini sedikit sebanyak menunjukkan banyak perkara perlu diperbaiki supaya berada di tahap yang lebih baik," katanya.
Beliau pada masa sama mengakui beberapa kesilapan anak buahnya juga mungkin menjadi faktor kekecewaan pasukan Gergasi Merah tewas kepada JDT yang disifatkan sebagai pasukan berpengalaman.
Terdahulu, JDT berjaya menambah lambakan koleksi kejuaraan selepas menundukkan Selangor FC 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA 2024/2025 malam tadi.
Kejayaan skuad Harimau Selatan dipacu jaringan hatrik Juan Muniz, Alvin Fortes, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes manakala jaringan tunggal Selangor FC oleh Aif Aiman Mohd Hanapi. - BERNAMA