Aksi longlai pasukan Pahang di awal babak pertama permainan memberikan kemenangan berharga 3-2 buat pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super yang kembali bersambung secara rasmi, malam ini.

Pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kegagalan menampilkan permainan kemas menghukum skuad Tok Gajah apabila dibolosi dua gol seawal lima belas minit pertama dengan pemain import dari Argentina Leandro Velazquez meledak gol pembukaan menerusi sepakan percuma pada minit keempat.

Pemain muda Muhammad Ramadhan Saifullah yang membuat penampilan sulung dalam kancah Liga Super bijak memperdayakan barisan pertahanan dan penjaga gol Pahang sebelum melepaskan rembatan ke arah gawang yang tidak dikawal sebelum sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada minit ke-35 meletakkan JDT selesa mendahului 3-0.

Namun, skuad Tok Gajah tanpa kelibat tonggak Mohamadou Sumareh yang tidak menyertai sesi latihan pasukan lebih sebulan, bangkit merapatkan kedudukan hasil jaringan Mohd Faisal Abdul Halim dan Herold Goulon, masing-masing pada minit ke-40 dan minit ke-45.

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat permainan yang menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan sekali gus kekal gah di persada Liga Super dengan mengumpul 13 mata sementara Pahang jatuh ke kedudukan keenam.

Sementara itu, Melaka dan UiTM FC turut berjaya meraih tiga mata penting selepas kedua-dua pasukan itu melakar kemenangan tipis di gelanggang pasukan tuan rumah.

Melaka menewaskan Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-52 sementara gol tunggal penyerang kebangsaan Filipina Mark Hartmann memastikan UiTM membawa pulang kejayaan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Dalam pada itu, aksi Liga Premier menyaksikan pendahulu Terengganu FC II (TFC II) dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Negeri Sembilan selepas Shunsuke Nakatake meledak gol kemenangan di penghujung babak permainan pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, skuad 'The City Boys' mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 2-1 ke atas UKM FC hasil jaringan Francis Kone pada minit ke-27 dan ketua pasukan Paulo Josue pada minit ke-82.

Kuching FA terus kekal di kedudukan tercorot liga apabila gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan kekalahan 4-1 di tangan Selangor II pada aksi di Stadium Negeri, Kuching.

Empat gol Selangor II dijaringkan Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-25 dan ke-63 serta satu gol masing-masing oleh Muhammad Fazrul Fahriz Zeky (minit ke-48) dan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau (minit ke-83) manakala gol sagu hati skuad tuan rumah dijaringkan Joseph Kalang Tie pada minit ke-81.

-- BERNAMA