JORDAN Henderson merupakan pilihan yang tepat untuk menggantikan Wayne Rooney sebagai kapten England menjelang aksi bertemu Slovenia, jelas pengurus sementara Gareth Southgate.

Southgate mengesahkan Rooney tidak akan berada di dalam kesebelasan utama pasukan untuk pertemuan kelayakan Piala Dunia 2018, tetapi menegaskan Rooney masih lagi kapten pasukan England.

Pemain tengah Liverpool, Henderson akan mengepalai The Three Lions di Ljubljana dan bakal bergandingan dengan Eric Dier yang menggantikan tempat Rooney.

"Saya amat mengagumi Henderson," jelas Southgate.

"Dia telah berjaya mengetuai pasukan The Reds dengan baik selepas menggantikan tempat Steven Gerard yang telah meniggalkan kelab itu, dua musim lalu.

"Dia berkomunikasi dengan baik di atas padang, memiliki pendapat dan dia memberitahu kami harus bekerja untuk menghasilkan satu taktikal yang mantap.

Rooney turut memberitahu Henderson adalah pilihan yang tepat untuk mengetuai pasukan.

"Saya berpendapat Jordan adalah seorang pemimpin yang hebat di atas padang. Dia telah mengambil alih tugas sukar yang ditinggalkan oleh Steven Gerrard di Liverpool dan semakin berkembang di posisi tersebut.

"Henderson memiliki kualiti yang bagus dan berhak menerima peluang ini," ujar Rooney.

Southgate memberitahu beliau menjangkakan perlawanan yang sengit berdepan Slovenia, tetapi mensasarkan kemenangan di tempat lawan untuk memastikan England menerajui Kumpulan F.

"Saingan dalam kumpulan ini amat sengit tetapi kami mahu terus berada di atas dan cuba untuk mendapatkan kemenangan kedua di tempat lawan."