KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Harimau Malaya diingatkan supaya tidak terbuai dengan pujian dan sanjungan selepas pasukan itu menghasilkan dua kemenangan berturut-turut pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 baru-baru ini.

Sebaliknya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata menjelang pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu ini, masih banyak perkara perlu diperbaiki terutama melibatkan prestasi pemain sedia ada.

"Diakui dua kemena-ngan ke atas Brunei dan Hong Kong adalah permulaan baik kepada persiapan kita, namun ia tidak bermakna jika kita tidak lakukan yang lebih baik di pertembungan sebenar.

"Saya ingatkan pemain untuk tidak lena dibuai dengan sanjungan dan pujian, sebaliknya jadikan ia inspirasi untuk terus melawan. Dalam kita dipuji, tidak kurang juga ada yang mengkritik maka terus jadikan pertembungan ini untuk medan membuktikan kemampuan masing-masing," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan FAM.

Menurut Hamidin, hasil pemantauan dalam dua aksi persahabatan berkenaan, masih ada kelompongan perlu diperbaiki skuad Harimau Malaya selain tidak boleh sesekali memandang rendah pihak lawan.

Skuad kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon akan membuka tirai pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 (Kumpulan E) bermula Rabu ini menentang Turkmenistan disusuli Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh pada 14 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sekiranya berjaya muncul juara kumpulan atau menjadi antara lima pasukan di tempat kedua terbaik pada saingan kelayakan, skuad kebangsaan akan menamatkan penantian lebih 40 tahun layak secara merit ke Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

-- BERNAMA