Hannah berkongsi kata-kata semangat untuk Azeem itu menerusi catatan di Facebook hari ini, sambil mengingatkan beliau bahawa, tidak ramai rakyat Malaysia yang mampu berlari dalam acara 100m di Sukan Olimpik, dan Muhammad Azeem seharusnya berbangga dengan pencapaiannya itu.
Beliau berkata pelari pecut negara itu kecewa kerana tidak mencatatkan masa yang sepadan dengan prestasi peribadinya, namun memuji sikap rendah diri serta keazaman tinggi, yang menurutnya akan memastikan Muhammad Azeem terus meningkat pada masa hadapan.
"Tiada siapa yang menginginkan kemenangan lebih daripada atlet itu sendiri. Ini adalah sukan, dan pingat hanya diberikan kepada yang terbaik."
"Bagi saya, berkongsi kegembiraan seorang atlet adalah perkara yang paling mudah dilakukan.
"Namun, melihat mereka selepas kekalahan, memberikan sokongan dan galakan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi saya ingin melakukannya.
"Sekiranya keadaan logistik dan jadual membenarkan, saya pastikan akan berada di sana untuk memberitahu mereka agar tidak berputus asa dan Malaysia berdiri bersama mereka," katanya.
Hannah juga mendedahkan bahawa dia telah berjumpa dengan jurulatih Azeem, Ken Harnden untuk membincangkan fasa seterusnya latihan pelari pecut itu.
Penampilan sulung Muhammad Azeem atas tiket wildcard dalam acara 100m lelaki di Stade de France berakhir pada pusingan pertama selepas beliau menduduki tempat terakhir (kesembilan) dengan 10.45 saat pada saringan kedua.
-- BERNAMA