Perlumbaan sengit dijangka akan berlangsung pada acara saingan Grand Prix Malaysia, Jumaat ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Begitulah pandangan pelumba Formula One (F1) dari Lotus, Kimi Raikkonen.

Meskipun menjuarai perlumbaan di Albert Park, Melbourne minggu lalu, Raikkonen tidak mahu cepat berpuas hati.

Ini kerana beliau menyedari masih banyak pusingan yang perlu ditempuhi untuk musim ini.

Kata Raikonnen, kekangan utama di Malaysia adalah cuaca yang tidak menentu.

“Di sini panas dan cuacanya berubah begitu pantas sekali, dan hujan boleh turun ketika perlumbaan, menyebabkan ia berubah sama sekali... tetapi selain daripada itu, cuma cuaca yang sedikit panas,” kata Raikonnen.

Meskipun pernah beralih seketika ke pentas rally pada 2010, beliau mengakui lebih cenderung dengan saingan F1.

"Saya sememangnya ingin berlumba, dan tentunya sekiranya anda memang ingin lakukannya, setiap peluang yang ada anda akan ambil. Sebab itu lah saya ingin berlumba," katanya.

Raikkonen ditemui ketika menghadiri pelancaran media anjuran jenama penjagaan diri terkemuka, Unilever.

Bagi anda yang ingin menyaksikan perlumbaan F1, ia akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bermula 22 Mac hingga 24 Mac ini.

Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi Formula One Sepang di www.sepangcircuit.com .