MONACO 1 ATLETICO 2

Diego Costa dan Jose Gimenez bangkit membantu Atletico Madrid meraih kemenangan 2-1 ke atas Monaco dalam aksi pembukaan Kumpulan A Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Atletico mengharungi pembukaan kempen LaLiga dan mengharungi nasib sama apabila ketinggalan dalam separuh masa pertama tetapi kualiti jentera serangan Atletico memastikan kemenangan berjaya diraih ke atas skuad bimbingan Leonardo Jardim itu.

Kesilapan yang berulang mengecewakan permulaan cemerlang Atletico selepas Samuel Grandsir meledak gol pertamanya dalam saingan UCL tetapi pelawat bangkit menerusi jaringan Costa dan Gimenez.

Monaco gagal mencari gol penyamaan selepas perlawanan bersambung dalam babak kedua dengan Atletico mendominasi permainan hingga tamat perlawanan.

Walaupun Atletico bermula dengan baik, Monaco menghukum dua kesilapan pada minit ke-18 apabila Radamel Falcao merampas bola daripada Saul Niguez manakala Angel Correa gagal mengeluarkan bola daripada kotak penalti, sekali gus membenarkan Grandsir menjaringkan gol.

Costa memastikan percubaan awal yang gagal disempurnakan tidak berulang apabila menyamakan kedudukan, menewaskan penjaga gol, Diego Benaglio, selepas menyempurnakan hantaran Antoine Griezmann.

Atletico menyempurnakan kebangkitan menerusi tandukan Gimenez selepas berjaya menyambut hantaran Koke daripada sepakan sudut.

Pelawat kurang memberikan asakan dalam babak kedua, sekali gus menawarkan sinar buat Monaco untuk mencetak gol penyamaan tetapi sentuhan penyudah yang tumpul menyaksikan tuan rumah mengakhiri saingan dengan kekalahan.