JAKARTA: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini telah selesai melakukan penilaian ke atas lapan stadium di seluruh Indonesia untuk meningkatkan langkah keselamatannya.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, badan induk bola sepak dunia itu berkata satu delegasi pakar melawat dan menilai lapan stadium berkenaan sebagai sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) FIFA dengan Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI).

Stadium-stadium yang dinilai ialah Stadium Utama Sumatera Utara, Stadium Teladan, Stadium Patriot, Stadium Wibawa Mukti, Stadium Kanjuruhan, Stadium Delta Sidoarjo, Stadium Joko Samudro dan Stadium Segiri.

Antara stadium yang dikunjungi oleh delegasi FIFA ialah Stadium Kanjuruhan di daerah Malang, Jawa Timur yang menurut laporan rasmi kerajaan berlakunya insiden ganas semasa perlawanan bola sepak pada 1 Okt, 2022 mengakibatkan sekurang-kurangnya 132 orang terbunuh, 96 cedera parah dan 484 lagi cedera sederhana dan ringan.

Penilaian yang diketuai oleh Perunding Stadium dan Infrastruktur FIFA, Benjamin Veenbrink dan Pengurus Pembangunan Wilayah FIFA, Karan Mirchandani menumpukan kepada penambahbaikan infrastruktur stadium dan standard keselamatan, selaras dengan matlamat yang digariskan dalam MoU.

FIFA dan PSSI telah menandatangani MoU itu pada November 2023.

Lawatan yang berlangsung dari 20 hingga 25 Mei itu memberi tumpuan kepada empat aspek utama: laluan masuk dan keluar stadium, akses, laluan evakuasi dan aliran pergerakan penonton.

"Selepas lawatan ini, FIFA akan menyediakan laporan penilaian serta cadangan yang akan dikongsi dengan PSSI dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

-- BERNAMA